KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Bersatu Bahagian Kota Raja menafikan tuduhan bahawa cawangan itu bakal dibubarkan sambil menjelaskan bahawa keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh majlis pimpinan tertinggi parti, lapor FMT pada Ahad.
Ketua Bahagian, Wan Dzahanurin Ahmad, berkata ini telah ditetapkan dalam perlembagaan Bersatu.
"Sebagai ketua bahagian Bersatu Kota Raja, saya menolak dakwaan ini," katanya.
Semalam, media melaporkan bahawa bahawa Bersatu bahagian Kota Raja, bersama dengan bahagian Bangi akan dibubarkan setelah pembubaran empat bahagian lain untuk menyokong parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Keempat-empat bahagian itu - Petaling Jaya, Klang, Jeram dan Ulu Langat - berkata mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Bersatu. Seramai 3,300 ahli dikatakan telah keluar parti.
Pada Jumaat, Mahathir, bekas pengerusi Bersatu, mengumumkan bahawa beliau akan membentuk parti Melayu baharu berikutan konflik beliau dengan presiden parti, Tan Sri MuhyiddinYassin, yang memecat beliau daripada parti.
Bagaimanapun, Wan Dzahanurin berkata ahli dibenarkan dan bebas untuk keluar parti sekiranya mereka mahu melakukannya.
"Tetapi mereka tidak boleh mengumumkan bahawa bahagian akan dibubarkan."
Seorang ahli Bersatu Kota Raja dijangka akan mengumumkan keluar parti itu, bersama dengan ahli jawatankuasa pusat, petang ini.
Semalam, ahli majlis tertinggi Bersatu, Tariq Ismail Mustama dan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar parti.