Bersatu tanding 45 kerusi DUN Sabah? Jangan mimpi - Shahril


KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- "Dua perkataan. Jangan mimpi,".

Itu reaksi Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan bagi mengulas kenyataan parti Bersatu Sabah yang mengatakan parti itu sedia bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

"Kalaun nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding.

"UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

"Tetapi kalau sebelum berunding pun, Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan.

"UMNO ada cita-citanya dalam menjayakan agenda rakyat Sabah namun cita-cita itu perlu disulami kebijaksanaan dengan mengambil langkah menghormati proses perundingan," jelas Shahril dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyampaikan pesanan kepada Bersatu Sabah supaya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.