TANJUNG MALIM, 16 Ogos -- Individu yang dikompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka boleh merayu untuk mengurangkan denda itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, tiada keperluan meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk mengurangkan jumlah kompaun.
”Kita kenakan RM1,000, tetapi mereka boleh merayu. Kementerian Kesihatan yang mengeluarkan kompaun boleh memberi pengurangan. Jadi, saya rasa tidak perlu pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa.
“… sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang,” katanya selepas melawat tapak mural kemerdekaan dan pasar pagi Slim River, hari ini.
Beliau berkata, jika perlu pindaan ke atas akta itu, usul akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.
Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii untuk mengkaji semula denda RM1,000 kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka kerana kadar itu dilihat membebankan orang ramai, khususnya B40 dan pelajar.
Sementara itu, ditanya kewujudan virus COVID-19 dengan mutasi D614G yang 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain di negara ini, Ismail mengingatkan rakyat terus mematuhi SOP.
“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa virus yang dibawa (kluster) Sivagangga itu telah dapat dikawal, jadi tidak ada lagi penyebaran virus tersebut (bagi kluster itu) di Kedah, Perlis dan sebagainya.”
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Institut Penyelidikan Perubatan mengesan mutasi D614G dalam 3 kes kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga dan satu kes kluster Ulu Tiram.
Katanya, virus COVID-19 dengan mutasi D614G didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain serta mudah merebak jika disebar individu “super spreader”.
Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga naib presiden UMNO, menasihati penyokong dan jentera Barisan Nasional pada kempen Pilihan Raya Kecil Slim supaya sentiasa mematuhi SOP Kementerian Kesihatan bagi mengelak penularan COVID-19.
“Saya faham kita nak kerja untuk menangkan calon, tempat sesak kalau tak boleh nak lakukan penjarakan fizikal, wajib pakai pelitup muka," katanya lagi.