KUALA LUMPUR, 17 Ogos -- Terdapat 12 kes baru COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, lapan kes positif COVID-19 masih dirawat di unit rawatan rapi, di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata 10 daripada 12 kes baru yang dilaporkan hari ini melibatkan penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import.

Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,212 kes.

Beliau juga memaklumkan mengenai 10 kes penularan dalam negara itu.

Jelas beliau, kesemua kes melibatkan penduduk tempatan iaitu satu kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh, Selangor serta lapan kes baharu bagi Kluster Tawar, iaitu empat kes di Kedah dan tiga di Pulau Pinang. Dua lagi kes adalah dari Kluster Sala.

Dr Noor Hisham juga berkata dua kes import adalah dari negara Syria (1 kes di Kuala Lumpur) dan Filipina (1 kes di Kuala Lumpur).

Katanya, terdapat 17 kes yang telah pulih daripada COVID-19 pada hari ini, yang membawa kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,876 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

Dr Noor Hisham juga mengulas mengenai Kluster Tawar, beliau berkata dengan penambahan kes baru itu, ia menjadikan mereka yang dikesan positif COVID-19 bagi kluster itu ialah sebanyak 46 kes.

"Sehingga 17 Ogos, 12 tengah hari, seramai 1,135 individu telah disaring dalam kluster ini. Seramai 918 individu disaring di Kedah, 39 kes dikesan positif COVID-19, 655 individu negatif, dan 224 individu masih menunggu keputusan.

"Seramai 208 orang disaring di Pulau Pinang dan daripada jumlah itu, seramai tujuh individu dikesan positif COVID-19, 175 individu negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan, manakala sembilan orang disaring di Perak, lapan negatif dan satu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau juga turut memaklumkan status terkini Kluster Sala.

"Terdapat dua lagi kes baharu yang dilaporkan dalam kluster ini, justeru menjadikan jumlah kes positif enam kes.

"Sehingga 17 Ogos, jam 12 tengah hari, seramai 273 orang telah disaring dalam kluster ini.

"Seramai 269 orang disaring di Kedah dan daripada jumlah itu, enam kes dikesan positif COVID-19, 214 individu negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan.

"Manakala, sebanyak empat orang disaring Pulau Pinang dan tiada kes dikesan positif COVID-19, justeru mereka disahkan negatif," katanya.