COVID-19: 7 kes baharu, lima kes penularan tempatan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Sebanyak tujuh kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan lima kes penularan tempatan dan selebihnya kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 9,274 kes, dengan kes aktif  kebolehjangkitan berjumlah 185 kes.

Dr Noor Hisham berkata dua kes import yang dilaporkan membabitkan kesemua warga tempatan.

“Dua kes import tersebut adalah dari negara Filipina dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Amerika Syarikat dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Daripada lima kes penularan di dalam negara, dua kes adalah warganegara Malaysia dan tiga kes bukan warganegara.

"Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah di Sarawak dengan tiga kes iaitu dua kes saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu lagi kes sebelum balik ke negara asal.

"Baki dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu seperti berikut, di Sarawak dengan dua kes iaitu satu kes saringan di tempat kerja. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu lagi kes saringan sebelum bersalin. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak enam kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,965 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

Beliau berkata tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut akibat wabak itu kekal 125 kes.

Katanya sehingga kini, lapan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Mengenai perincian Kluster Tawar, Kedah, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kes baharu dilaporkan hari ini bagi kluster tersebut. Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 Kluster Tawar kekal 65 kes.

"Namun begitu, saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan. 

“Sehingga hari ini jam 12 tengah hari, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini. Di Kedah seramai 2,907 disaring dengan 54 kes dikesan positif manakala 2,393 individu negatif dan 460 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang, seramai 518 disaring dengan 11 kes dikesan positif manakala 506 individu negatif. dan satu individu masih menunggu keputusan.

"Di Perak pula, kesemua 11 saringan adalah negatif dan tiada saringan baharu,” katanya.