Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR, 4 Ogos -- Hanya 1 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 9,002 kes.

"Ingin dimaklumkan bahawa satu kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis. Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini," katanya.

Manakala, jumlah keseluruhan kes yang maut akibat wabak kekal 125 kes.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 16 kes telah pulih daripada COVID-19.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh kini 8,684 kes iaitu 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 193 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” tambahnya.

Tiada kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat satu berita palsu yang tular melalui media sosial mengenai arahan bagi ibubapa dan pelajar yang telah bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah untuk menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

"Ingin dimaklumkan bahawa pihak KKM tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi sepertimana yang tular dan ianya merupakan satu berita palsu," jelasnya.