KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Kes baharu positif COVID-19 hari ini kekal dua angka, dengan 11 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 10 adalah kes import manakala selebihnya adalah kes penularan tempatan.
Perkembangan kes tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara adalah sebanyak 9,317 kes.
"10 kes import tersebut adalah dari negara India dengan tujuh kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor, negara Indonesia dengan satu kes di Selangor serta negara Qatar dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Satu kes penularan di dalam negara melibatkan satu warganegara Malaysia. Kes dikesan di negeri Sarawak adalah daripada saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak.
"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 154 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak lapan kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini.
"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,038 kes iaitu bersamaan dengan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.
Beliau juga berkata tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.
"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes iaitu bersamaan dengan 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," jelasnya.