KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Kes positif COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan satu angka selepas tujuh kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini adalah 9,219 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, empat kes adalah kes import manakala tiga lagi kes adalah kes penularan tempatan.

Daripada tiga kes tempatan itu, kesemua kes direkodkan dalam kalangan warga Malaysia.

Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut;

- Kedah: Dua kes daripada Kluster Sala, satu kes daripada Kluster Tawar.

Manakala, empat kes import melibatkan dua warga Malaysia dan dua bukan warganegara.

Sementara itu, 192 kes positif COVID-19 adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan yang sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 26 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,902 kes (96.6 peratus).

"Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan," kata beliau pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kematian baharu direkodkan setakat Selasa, jumlah kematian kekal 125 kes (1.36 peratus).

Status terkini Kluster Tawar dan Kluster Sala

Dr Noor Hisham berkata, satu kes baharu daripada Kluster Tawar dilaporkan di Kedah hari ini.

"Justeru, jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 47 kes," katanya.

Menurutnya lagi, seramai 1,490 orang telah disaring dalam kluster ini setakat tengah hari Selasa.

Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut;

- Kedah (1,195 disaring) 40 kes dikesan positif COVID-19; 858 individu negatif; dan 297 individu masih menunggu keputusan.

- Pulau Pinang (286 disaring): Tujuh kes dikesan positif COVID-19; 216 individu negatif; dan 63 individu masih menunggu keputusan.

- Perak (9 disaring): Sembilan individu negatif.

Bagi Kluster Sala pula, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua kes baharu daripada kluster ini dilaporkan hari ini di Kedah.

"Justeru, jumlah kes positif kluster ini adalah sebanyak lapan kes.

"Sehingga 18 Ogos 2020, jam 12 tengah hari, seramai 635 orang telah disaring dalam kluster ini," katanya.

Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut;

- Kedah (629 disaring): Lapan kes dikesan positif COVID-19; 479 individu negatif; dan 142 individu masih menunggu keputusan.

- Pulau Pinang (6 disaring): Tiada kes dikesan positif COVID-19; empat individu negatif; dan dua individu masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham juga berkata pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan.