![]() |
| Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. |
KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Jumlah kes baharu COVID-19 negara kembali dua angka apabila 16 kes dilaporkan hari ini membabitkan empat kes import dan 12 kes penularan tempatan menjadikan jumlah kumulatif kes baharu sebanyak 9,235 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes import, ia membabitkan kesemua bukan warganegara Malaysia.
"Kesemua 12 kes penularan di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia," katanya.
Perincian kes penularan tempatan adalah seperti berikut;
- Kedah: empat kes daripada Kluster Tawar, tiga kes daripada Kluster Sala.
- Pulau Pinang: empat kes daripada Kluster Tawar.
- Johor: satu kes saringan sign-on kapal. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 23 kes pulih dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,925 kes atau 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal 125 kes.
