KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Kes positif COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan satu digit hari ini dengan 5 kes baharu dilaporkan yang merupakan kes import. Ini bermakna tiada kes penularan tempatan yang dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,240 kes, sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 183 kes.
"Lima kes import tersebut melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara. Kes-kes tersebut adalah dari negara Jepun (4 kes di Sarawak) dan Bangladesh (1 kes di Selangor)," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak tujuh kes pulih turut dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 di negara ini sebanyak 8,932 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, sehingga kini terdapat tujuh kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
Kematian kekal 125 orang atau 1.35 peratus daripada jumlah kumulatif kes.