KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat satu lagi kes kematian akibat COVID-19.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 127 kes iaitu bersamaan dengan 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat enam kes positif baharu COVID-19 dilaporkan pada hari ini.
Perkembangan tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara sebanyak 9,340 kes.
Pada masa yang sama, beliau berkata terdapat enam kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,054 kes yang bersamaan dengan 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 159 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.