KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Sarawak kini mempunyai kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Alam yang diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu dikesan susulan empat kes positif dilaporkan di sebuah kapal di Bintulu.
"Setakat ini, sebanyak empat kes positif telah dikesan di atas kapal tersebut. Kluster ini dikesan susulan saringan COVID-19 yang telah dijalankan ke atas lima orang kakitangan kapal tersebut yang mengalami gejala.
"Daripada jumlah tersebut, empat orang didapati positif COVID-19 dan seorang masih menunggu keputusan pengesahan makmal," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, kesemua kes positif tersebut merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.
"Kapal di mana mereka bertugas ini mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun. Mereka sedang dirawat di Hospital Bintulu, Sarawak. Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di sebuah kapal," jelas Dr Noor Hisham.
Beliau turut memaklumkan bahawa aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang dijalankan.
"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut," katanya.