KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Satu lagi kluster baharu dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur dan dikenali sebagai Kluster Maju.
Dua kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9176 dan kes ke-9177 telah dilaporkan pada 16 Ogos lalu. Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan pelanggan restoran, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.
"Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
"Setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan. Daripada jumlah ini, tiga dikesan positif COVID-19 dan 669 individu negatif," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di restoran tersebut.