KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikesan, kali ini di Daerah Kuala Muda, Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes pertama bagi kluster berkenaan adalah lelaki tempatan yang merupakan seorang anggota polis.
Beliau berkata, sehingga tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati daripada 124 individu yang disaring, hanya 2 kes positif COVID-19 dikesan dalam kluster berkenaan.
"Sehingga 14 Ogos, 124 orang sudah disaring, terdiri daripada 2 kes positif COVID-19; 5 adalah negatif; dan 117 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham turut berkata, kesemua kes dalam kluster ini melibatkan rakyat tempatan.
Beliau berkata, langkah pembendungan dan kawalan jangkitan sudah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan itu manakala punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.
Semalam, media melaporkan terdapat seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, disahkan positif.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, berkata pegawai berpangkat Asisten Superintendan itu kini dalam kuarantin.
Semalam juga tular menerusi aplikasi WhatsApp memaklum seorang pegawai polis di Sungai Petani disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian swab di salah sebuah hospital swasta di sini.
Pegawai polis terbabit dikatakan sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dikuarantin dan menerima rawatan lanjut.