COVID-19: Tiga lagi kluster tamat

KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat tiga lagi kluster diisytiharkan sudah tamat, iaitu Kluster Restoran Kuala Lumpur, Kluster PUI Ramnad (Kuala Lumpur) dan Kluster Jeti (Sarawak).

Untuk rekod, penularan COVID-19 di Kluster Restoran Kuala Lumpur dikesan sejak 19 Julai lalu hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan sekitar.

Bagi Kluster PUI Ramnad pula, ia mula dikesan pada 24 Julai lalu dan didapati tiga individu disahkan positif COVID-19. Kluster ini membabitkan kesemua warganegara tempatan.

Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang kembali ke negara ini dari India pada 6 Julai lalu. Beliau telah menjalani saringan COVID-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA dan hasilnya didapati negatif.

Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020. Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Bagi Kluster Jeti pula, ia melibatkan sebuah jeti kapal perikanan di Pending, Sarawak setelah dua kes positif dicatatkan dari kluster ini.

Kes indeks kluster ini telah dikesan positif COVID-19 pada 15 Julai.

Manakala, kes kedua merupakan lelaki warganegara Indonesia yang bekerja di syarikat perikanan yang sama dengan kes pertama disaring pada 18 Julai dan didapati positif. 

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kluster ini telah dikenal pasti berpunca daripada jangkitan tempatan iaitu jangkitan di dalam komuniti.

"Bagaimanapun, kluster ini telah berjaya dibendung dengan usaha dan kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan semua ahli JPBN,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak JPBN.

Sehingga kini, terdapat 78 kluster diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan selepas tidak lagi mencatatkan sebarang kes positif COVID-19.