Dr Noor Hisham dinobat Tokoh Maal Hijrah 2020

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Selepas bergelar "Tan Sri" pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kali ini dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah, pada sambutan di Masjid Negara, malam ini.

Manakala, Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumum sebagaia tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

Malah, kedua-dua tokoh terbabit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir ialah anakanda baginda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Wilayah Persektuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.