Gabenor Kepri disahkan positif COVID-19

Gabenor Kepulauan Riau (kanan), Isdianto ketika upacara mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden, Joko Widodo beberapa hari sebelum beliau disahkan positif COVID-19.

JAKARTA, 1 Ogos -- Gabenor Kepulauan Riau (Kepri) Indonesia, Isdianto disahkan positif COVID-19.

Berita itu disampaikan oleh Ketua Jabatan Kesihatan Provinsi Kepulauan Riau, Tjethep Yudiana pada Sabtu.

"Ya, tuan Gabenor positif," kata Tjethep.

Tjetjep menjelaskan bahawa maklumat rasmi yang berkaitan dengan keputusan ujian saringan Isdianto belum diterima oleh Pasukan Petugas COVID-19 Kepulauan Riau.

"Kami hanya menerima maklumat lisan dari Ketua Pusat Kejuruteraan Kesihatan Persekitaran untuk Pusat Pencegahan Penyakit," kata Tjetjep.

Isdianto disahkan positif hanya beberapa hari selepas beliau dilantik menjawat jawatan gabenor itu pada 27 Julai.

Beliau juga baru kembali dari Jakarta selepas mengangkat sumpah di hadapan presiden, Joko Widodo.

Sebelum ini, Isdianto telah menjalani ujian saringan di Jakarta namun keputusannya negatif.