Gara-gara kedai arak ditutup, 36 maut minum cecair sanitasi di India


NEW DELHI, 2 Ogos -- Sekurang-kurangnya 36 individu maut selepas mereka minum cecair sanitasi yang mengandungi alkohol.

Kejadian terjadi berikutan langkah pihak berkuasa menutup premis-premis yang menjual arak dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Susulan itu, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan pihak polis pada Sabtu bagi menyiasat kes berkenaan.

Perintah berkurung mula dikuatkuasakan di Kampung Kurichedu selepas beberapa kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan penduduknya.

Memetik laporan Reuters, Ketua Polis Daerah Siddharth Kaushal memaklumkan, mangsa-mangsa berkenaan telah mencampurkan cecair sanitasi dengan air kosong dan air berkarbonat.

“Sesetengah orang yang ketagih alkohol mula mengambil cecair sanitasi untuk rasa khayal,” katanya dipetik agensi berita itu.

"Alkohol sukar didapati ekoran perintah berkurung tetapi pensanitasi tangan mudah dicari."

Bagaimanapun, selain mereka yang maut, beberapa pesakit lain yang turut mengambil cecair sanitasi itu telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Kami sedang menyiasat sama ada cecair sanitasi tersebut mengandungi bahan toksik lain,” kata Kaushal kepada wartawan.

Kerajaan persekutuan telah membenarkan beberapa aktiviti ekonomi bagi memulihkan ekonomi susulan perintah berkurung dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Namun, kebanyakan negeri termasuk Andhra Pradesh masih melaksanakan perintah berkurung di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi, termasuk Kurichedu.