PUTRAJAYA, 6 Ogos -- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali keemapt, dekat sini, sebentar tadi.

Memetik laporan AstroAwani, bekas menteri kewangan itu dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.10 malam.

Pada Ahad, 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.

Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.

Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.