Henti dakwa Sabah bukan milik Malaysia, kata Musa pada Manila


KOTA KINABALU, 1 Ogos -- Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman telah memberitahu Filipina untuk berhenti meneruskan tuntutannya terhadap negeri Di Bawah Bayu itu, menganggap ia tidak sesuai dengan semangat perpaduan di antara negara-negara Asean.

"Sabah adalah sebahagian daripada persekutuan Malaysia dan tidak ada pertengkaran atau pertikaian mengenai perkara ini," kata Musa dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

“Saya mendesak Filipina, termasuk menteri luar negeri mereka, untuk menghentikan naratif seperti ini untuk tujuan politik dalamannya kerana ianya tidak baik untuk hubungan dua hala antara negara-negara anggota Asean," katanya.

Beliau juga berkata dalam kes Mahkamah Tinggi kerajaan antara Nurhima Kiram Fornan & Ors (2020) di sini, hakim Martin Idang dengan jelas memberitahu bahawa Sabah adalah Malaysia dan tidak ada pihak lain yang mempunyai hak atau kuasa atas urusan negeri ini.

“Oleh itu, izinkan saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah.

"Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan telah memilih untuk menjadi dan akan terus menjadi sebahagian daripada negara yang berdaulat sejak negeri ini menjadi pihak dalam pembentukannya.

“Orang-orang di Sabah memilih untuk berada di negeri ini kerana ianya dalam Malaysia. Kami telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di Malaysia," jelas Musa.

Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas Locsin berhubung hantaran Twitter “Sabah is not in Malaysia” baru-baru ini.

Beliau menyifatkan kenyataan Locsin itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Hishammuddin dalam hantaran menerusi Twitternya baru-baru ini mengarahkan Wisma Putra memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose pada Isnin untuk menjelaskan isu tersebut.

“Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.