Hishammudin didena kerana hisap vape di Parlimen

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mendedahkan bahawa kementerian kesihatan (KKM) telah mengenakan denda terhadapnya kerana menghisap vape atau rokok elektronik di Dewan Rakyat.

Awal hari ini, Hishammuddin memohon maaf kerana menghisap vape semasa sidang berlangsung dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Permohonan maaf itu dikemukakan beliau menerusi akaun Twitter miliknya dengan membalas hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna media sosial itu yang dikenali sebagai Mhd Shamin.

"Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baru.

"Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," ciapnya membalas hantaran itu.

Mhd Shamin sebelum itu berkongsi klip video berdurasi sembilan saat di Twitter yang menunjukkan Hishamuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka semasa persidangan sedang berlangsung.

Permohonan maaf yang dibuat Ahli Parlimen Sembrong itu mencetuskan pelbagai reaksi dengan ada yang memuji sikap kejujuran beliau.