KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin mengingatkan pihak yang mahu menyertai Muafakat Nasional perlu “ikhlas” dan memahami tujuan pakatan itu.
Katanya, Muafakat Nasional, pakatan antara UMNO dan PAS, ialah wadah penyatuan dan perpaduan orang Melayu untuk membentuk teras politik nasional yang stabil.
“Jangan silap berfikir menyertai MN untuk selamatkan kerusi, jawatan atau parti yang sedang berpecah dari dalam,” tulisnya di Facebook hari ini.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya bersetuju menyertai MN kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Bersatu membuktikan nilai perkongsian sebenar dalam MN dengan mendapatkan undi bagi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Jika gagal berbuat demikian, katanya, Bersatu perlu mengkaji nilai persahabatannya dengan BN dan MN selama ini.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, penyertaan Bersatu akan membolehkan MN menjadi teras politik nasional stabil berasaskan kepelbagaian kaum, ideologi serta agama.
Katanya, penyatuan itu akan melengkapkan kerangka perpaduan dan solidariti orang Melayu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad mengingatkan Bersatu supaya realistik dalam pengagihan kerusi selepas menyertai pakatan itu kerana semakin ramai ahlinya keluar parti untuk menyertai parti baru Dr Mahathir Mohamad, Pejuang.