KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar menyangkal Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin setelah beliau mengaitkan bekas ahli Parlimen Batu Berendam itu dengan salah satu projek di bawah kementeriannya yang didakwa telah diluluskan secara rundingan terus oleh bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Zuraida mendakwa Tamrin telah bertemu dengan Guan Eng yang merupakan penasihat Syarikat Bumi Tegar Indah dan membincangkan rundingan secara langsung projek Sisa Pepejal Taman Beringin pada 26 November 2018.

Beliau mendakwa Tamrin, yang juga anak bekas timbalan perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, ialah penyokong tegar Pakatan Harapan (PH).

Zuraida juga mendakwa Guan Eng setuju untuk mengurangkan kos tipping fee sebanyak 10% dan kemudian menasihati Bumi Segar Indah untuk menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membentangkan kertas cadangan formal.

"Projek berkenaan diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT," katanya.

Tamrin kemudiannya mempersoalkan niat Zuraida untuk mengaitkannya dengan perkara itu dan memberitahu menteri itu untuk tidak melibatkan atau menyalahkan orang lain atas kegagalannya sendiri.

"Amat mustahil bagi seorang menteri tidak tahu langsung perkara tersebut sedangkan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut rekomendasi KPKT.

"Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.