Jika Agong boleh ikut SOP, kenapa menteri tak boleh - Guan Eng

KUALA LUMPUR, 23 Ogos -- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali didesak untuk mencontohi sikap Yang di-Pertuan Agong, yang dikuarantin selama 14 hari setelah seorang kakitangan istana didapati positif untuk COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengkritik Khairuddin kerana terus membela diri setelah dikecam kerana tidak mematuhi protokol COVID-19 setelah kembali dari Turki.

"Masalahnya adalah mengapa beliau dan keluarganya tidak dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari.

"Sekiranya Agong dapat mematuhi protokol keselamatan COVID-19 walaupun menikmati kekebalan undang-undang, mengapa tidak Khairuddin? Atau adakah Khairudin menganggap dirinya menikmati status istimewa?

"Ini bukan lagi pertanyaan tentang menghukum Khairuddin atas kesalahannya, tetapi juga tentang apakah beliau layak menjadi menteri dalam pemerintahan Seri Paduka Baginda," soal Guan Eng.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa Khairuddin telah ke Turki dengan izin perdana menteri kerana negara itu dikategorikan sebagai zon hijau.

Laporan itu juga mengatakan bahawa Khairuddin tidak diharuskan menjalani kuarantin kerana beliau telah didapati negatif COVID-19 sekembalinya beliau ke KLIA.