TANJUNG MALIM, 21 Ogos -- Kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kluster Sala dan Tawar mempunyai virus COVID-19 dengan mutasi D614G seperti kluster PUI Sivagangga, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kes dua kluster itu dan pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.

“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini, hari ini.

Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan COVID-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan individu tidak mematuhi SOP.

Tiga kes baru dilaporkan pada Jumaat di Kedah, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 bagi kluster Tawar sebanyak 58 kes.

Mengulas tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara, Azmi berkata, siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku pelanggaran SOP.

“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti.”

Mengenai pematuhan SOP ketika kempen Pilihan Raya Kecil Slim, katanya, tiada laporan pelanggaran SOP setakat ini.