KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran berkata, parti itu kekal komited sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) selagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO kekal dalam gabungan kerajaan itu.

“Kita tahu di peringkat akar umbi, ada yang mempersoalkan sama ada UMNO akan menyertai PN atau sama ada Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Bagi MIC, kami masih komited dengan PN selagi BN dan UMNO kekal dengan PN,” katanya.

MN ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lalu. Bersama-sama Bersatu, ia kemudiannya membentuk gabungan PN yang mengambil alih kerajaan pusat dengan sokongan gabungan kerajaan Sarawak, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu hari ini, presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa MN bersetuju menjemput Bersatu menyertai gabungan itu, dengan berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden UMNO dan PAS.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, akar umbi parti itu “tidak selesa dan tidak bersetuju” dengan idea Bersatu menyertai MN.

Ia juga muncul selepas PAS mengesahkan bahawa parti itu menjadi sebahagian jawatankuasa penaja dengan Bersatu untuk mendaftarkan PN secara rasmi.

Zahid sebelum ini menegaskan UMNO tidak akan menyertai PN.

Bulan lepas, Zahid berkata, UMNO akan terus menyokong PN untuk membentuk kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri, namun menambah bahawa UMNO akan terus mengukuhkan MN.