KULIM, 2 Ogos -- Tindakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba mengejar dan mendapatkan Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Putra, Putrajaya semasa solat Aidiladha hanya sebagai menunjukkan rasa hormat beliau kepada Ahli Parlimen Langkawi itu dan tidak harus dipolitikkan.
Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ia bukan berkaitan politik, sebaliknya sekadar bertanya khabar dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Mahathir.
"Kita ni orang Islam, orang Melayu, rakyat Malaysia...kita bukan bersengketa, bermusuhan sehingga dendam antara satu sama lain. Saya orang muda...perlu tunjuk hormat kepada orang yang lebih tua.
"Mungkin kita ada pandangan berbeza tapi apabila dalam masjid...dan apa lagi pada Hari Raya Aidiladha, sudah tentu saya sebagai seorang yang jauh lebih muda daripada dia (Mahathir), saya bertanggungjawab untuk bertemu dengan beliau...mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan bertanya khabar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara peringkat negeri Kedah di Padang Serai dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beberapa hari yang lalu, tular video pendek Azmin mengejar Mahathir dan ia menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat dan pihak tertentu. Turut dilihat dalam video tersebut ialah Menteri Kanan (Sosial dan Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin.