PUTRAJAYA, 7 Ogos -- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dipercayai bermalam di lokap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah ditahan semalam.

Beliau akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian itu disedari wakil media setelah kelibat Guan Eng tidak kelihatan di dalam kenderaan yang dinaiki beliau iaitu sebuah Toyota Vellfire putih. Sebaliknya, kelibat peguam beliau, RSN Rayer dan pemandu beliau sahaja yang kelihatan.

Ketika kenderaan itu keluar dari bangunan SPRM, sekumpulan wakil media mengasak kenderaan yang dinaiki Rayer bagi mendapatkan perkembangan terkini penahanan anak guamnya.

Kereta itu terpaksa menunggu lampu isyarat merah di hadapan SPRM dan pada mulanya, Rayer enggan melayan walaupun cermin kereta diketuk sekurang-kurangnya lebih 20 wakil media.

Beliau asyik menggelengkan kepala manakala wakil media juga tidak berputus asa dan terus ‘menyerang’ bertalu-talu persoalan berhubung Guan Eng.

Kerana terus diasak banyak kali akhirnya beliau menurunkan cermin sebelum berkata; “Kita akan terus lawan di mahkamah nanti.

“Saya bersama Gobind Singh dan juga Ramkarpal Singh akan berada di mahkamah esok,” katanya sebelum menutup kembali cermin keretanya.

Mukanya juga kelihatan serius pada masa itu.

Apabila ditanya sama ada Guan Eng telah ditahan dan bermalam di lokap SPRM pada malam ini memandangkan beliau tidak keluar bersamanya, beliau enggan mengulas.

Wakil media difahamkan terdapat ‘bukti’ baharu berhubung kes terowong bawah tanah itu yang membawa penahanan Guan Eng.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa ahli Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017.

Terdahulu, SPRM telah mendapat izin untuk mendakwa daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menuduh Guan Eng hari ini di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Beliau akan menghadapi tiga pertuduhan di dua mahkamah iaitu Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada hari ini jam 9 pagi atas kesalahan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Pada 10 Ogos dan 11 Ogos ini, Ahli Parlimen Bagan itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.