Kluster Tawar: 2,773 individu disaring, 58 positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Seramai 2,773 individu berkaitan Kluster Tawar telah disaring setakat ini di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga kini sebanyak 58 kes positif dicatatkan dari kluster itu dengan tiga kes baharu pada Jumaat.

"Sehingga 21 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,773 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut di Kedah 2,256 disaring, 47 individu dikesan positif COVID-19, 1,985 individu disahkan negatif dan 224 lagi individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Manakala di Pulau Pinang, sebanyak 466 individu telah disaring dengan 11 kes positif, 430 individu negatif dan 25 individu masih menunggu keputusan.

Di Perak pula, daripada 11 saringan yang dijalankan, kesemuanya disahkan negatif.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jelas Dr Noor Hisham, sedang menjalankan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

"Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.