BUKIT MERTAJAM, 9 Ogos -- Seorang lelaki berusia 33 tahun telah ditahan kerana memukul seorang penghantar makanan sebuah syarikat penghantaran terkenal di Alma, di sini, yang video pergaduhan itu tular di media sosial Facebook dua hari lalu.
Lelaki itu telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes, kata ketua polis Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad.
Suspek merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta dan beliau telah ditahan di sebuah hotel di sini pada jam 7.22 malam pada Jumaat.
"Polis telah mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut, kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk punca suspek bertindak sedemikian," katanya.
Shafee juga berkata, polis juga akan merekodkan keterangan mangsa dan pemilik rumah inap desa yang disewa lelaki itu.
Polis sudah memulakan siasatan berhubung kes itu selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 34, yang cedera dipukul suspek.
"Mangsa telah menerima pesanan makanan pizza daripada seorang lelaki melalui aplikasi syarikat penghantaran tempat dia bekerja dan sebaik tiba di kawasan rumah suspek, mangsa menghubunginya untuk pengesahan alamat kerana alamat tersebut ada kekeliruan.
"Setelah mendapat pengesahan alamat untuk dihantar, mangsa telah pergi ke lokasi kejadian dan sebaik penghuni rumah itu membuka pintu, lelaki tersebut terus memarahi serta memaki hamun penghantar makanan tersebut," menurut Shafee.
Beliau berkata mangsa kemudian menyerahkan makanan kepada suspek sebelum lelaki itu menyerahkan sekeping wang RM50 dan sewaktu mangsa mengira duit baki, suspek sekali lagi memakinya mengatakan dia lambat mengira wang baki serta merampas semula wang berkenaan.
Shafee berkata suspek kemudian menyerahkan semula makanan yang dipesannya kepada mangsa kerana sudah tidak mahu membelinya sebelum penghantar makanan itu memberitahu dia akan melaporkan kepada syarikat tempatnya bekerja mengenai pembatalan tersebut.
"Suspek bertindak mengambil semula makanan dan melempar sekeping wang RM50 ke lantai sebelum penghantar makanan mengambil wang tersebut serta meletakkan wang baki di atas lantai. Lelaki berkenaan menyuruh mangsa untuk ambil wang baki tersebut namun dia tidak mahu dan disebabkan itu, suspek telah memukulnya dengan cara menumbuk dan menendang pengadu.
"Selain itu, suspek telah bertindak membuang barang di dalam raga motosikal pengadu iaitu telefon bimbit dan power bank. Semasa lelaki tersebut hendak menjatuhkan motosikal penghantar makanan berkenaan, dia telah memukul suspek menggunakan topi keledar yang dipakainya," katanya.
Beliau berkata suspek cuba melawan namun pergaduhan itu dileraikan pemilik rumah berkenaan dan siasatan mendapati kediaman tersebut merupakan inap desa yang disewa oleh suspek sejak lima hari lepas malah terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di situ.
Katanya berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian leher sebelah kiri, pergelangan tangan serta belakang tangan sebelah kiri dan polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.