KOTA KINABALU, 21 Ogos -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang memohon persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disemak semula.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan itu atas alasan perkara itu tidak boleh diputuskan di mahkamah.

Kumpulan wakil rakyat itu, diketuai bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, memohon kebenaran untuk semakan kehakiman itu pada 3 Ogos lepas, dan juga memohon injunksi ke atas pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Tun Juhar memohon DUN dibubarkan pada 29 Julai.