![]() |
Uskup Agung Kuching, Simon Poh |
KUCHING, 29 Ogos -- Majlis gereja Sarawak mengkritik kenyataan ahli Parlimen Pasir Putih, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam perbahasan dengan ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham tentang agama yang membenarkan penganutnya minum arak, Zawawi berkata, kitab Injil telah dipinda.
Persatuan Gereja Sarawak (ACS) berkata, kenyataan ahli Parlimen PAS itu bersifat ofensif dan tidak boleh diterima dengan menambah bahawa kenyataan itu merupakan penghinaan langsung terhadap kitab Injil.
“Kenyataan bahawa ‘kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah’ iaitu mendakwa ia ‘dipesongkan atau diubah’ adalah melanggar sempadan sensitiviti agama.
“Ia dianggap serius dan tidak boleh diterima kerana kenyataan itu dibuat secara terbuka dan direkodkan dalam transkrip rasmi persidangan Dewan Rakyat ke-14 pada 26 Ogos,” kata pengerusi ACS, Uskup Agung Kuching, Simon Poh dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendesak Zawawi supaya menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf berhubung perkara tersebut.
Katanya, perbuatan itu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen PAS itu berkata, semua agama tidak membenarkan penganutnya minum arak, sekali gus mencetuskan pertengkaran dengan Ngeh.
"Islam tidak melarang orang lain daripada menjual arak. Agama lain seperti Buddha dan Hindu juga tidak membenarkan penganut masing-masing minum arak," katanya di Dewan Rakyat.
Ngeh menggesa Zawawi membetulkan kenyataannya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sehingga mabuk.
Zawawi, bagaimanapun, memberitahu Ngeh supaya memeriksa kenyataan beliau, termasuk mengenai agama Kristian kerana “sebelum kitab Injil dipinda”, sedikit arak pun tidak dibenarkan.
Ngeh membalas kenyataan Zawawi dengan memintanya merujuk kepada pakar agama lain terlebih dahulu, tetapi disanggah oleh Zawawi yang berkata, beliau membaca mengenai agama Kristian berdasarkan buku yang ditulis oleh orang Kristian sendiri.
Pemimpin Kristian lain di semenanjung Malaysia memberi respons terhadap Zawawi dengan berkata, minum arak bukanlah suatu dosa dalam kitab Injil walaupun ia mengutuk perbuatan mabuk.