KUCHING, 8 Ogos -- "Malasku nak komen,".
Demikian luahan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang enggan mengulas parti baharu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abang Johari, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) cuba mengelak ketika diajukan soalan itu dengan alasan, kurang maklumat mengenainya.
"Buka parti barukah...apa kah...," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Jambatan Kampung Bintangor Baru, Kuching, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi, namun ia tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keputusan menubuhkan parti baharu dibuat selepas hilang kepercayaan kepada Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain keahliannya bersama lima lagi pemimpinnya terhenti berdasarkan perlembagaan parti itu.
Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar Bersatu dahulu, selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.