![]() |
Gambar hiasan |
IPOH, 30 Ogos -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan sebanyak 554 kompaun bernilai RM449,109 bagi kesalahan pembuangan sampah di sekitar bandar raya tu bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata selain itu, pihaknya juga mengutip 7,310 tan sampah sarap di 1,627 lokasi tapak pembuangan sampah haram di bawah kawasan pentadbiran MBI.
"MBI juga turut menganjurkan 28 program gotong-royong membersihkan sampah-sarap di sekitar bandar raya Ipoh sejak 1 Jan hingga 22 Ogos lepas," katanya kepada pemberita pada program gotong-royong perdana bersempena Bulan Kemerdekaan di Padang Bandar Baru Putra, Bercham di sini hari ini.
Sementara itu, ketika berucap pada program berkenaan, Rumaizi mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membantu dan bekerjasama dengan MBI menjaga kebersihan bandar raya Ipoh.
"Penjagaan kebersihan merupakan tanggungjawab kita bersama dan bukanlah tanggungjawab MBI semata-mata," katanya.
-- BERNAMA