PUTRAJAYA, 14 Ogos -- Buat pertama kali, mesyuarat Jemaah Menteri pagi ini berlangsung dalam suasana ‘norma baharu’ apabila kedudukan di antara anggota Kabinet dipisahkan dengan penghadang lutsinar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah ini bertujuan mengekalkan penjarakan fizikal bagi mewujudkan jarak pemisah antara ahli mesyuarat dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

“Mesyuarat hari ini juga kali pertama semua ahli Jemaah Menteri dapat berkumpul dan bermesyuarat secara bersemuka di dalam bilik mesyuarat yang sama.

“Bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan mengekalkan jarak fizikal, mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dilangsungkan di tiga lokasi berbeza di Bangunan Perdana Putra,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Muhyddin turut berkongsi beberapa keping gambar mesyuarat tersebut.

Kesemua anggota Kabinet turut memakai pelitup muka ketika mesyuarat berlangsung. - SuaraKini