KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menolak gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri UMNO berundur dari kabinet setelah Bersatu memutuskan untuk membuka pintu keahlian partinya kepada orang bukan Melayu.
Dalam beberapa siri ciapan di Twitter, Annuar berkata, mungkin Razaleigh lupa bahawa tidak semua ahli UMNO dan PAS ialah orang Melayu atau penganut Islam.
"Mungkin Ku Li terlupa UMNO dan PAS sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.
"Dasar dan piagam Muafakat Nasional (MN) jelas, kita meraikan kepelbagaian kaum dan Malaysia yang majmuk," katanya dalam ciapan Twitter.
MUNGKIN KU LI TERLUPA UMNO DAN PAS SENDIRI MEMPUNYAI AHLI BUKAN MELAYU DAN BUKAN ISLAM..DASAR DAN PIAGAM MN JELAS,KITA MERAIKAN KEPELBAGAIAN KAUM DAN MSIA YG MAJMUK... https://t.co/mpcSPIj8Sy
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) August 28, 2020
Annuar juga berkata sentimen perkauman secara terang-terangan tidak lagi sesuai dengan politik Malaysia.
Untuk rekod, PAS mempunyai ahli muslim berbangsa Cina dan India serta mempunyai sayap penyokong untuk orang bukan Islam.
Sementara itu, UMNO pula mempunyai ahli Bumiputera Kristian dari Sabah di antara barisannya, selain anggota keturunan India Muslim.
Sebelum ini, Tengku Razaleiegh berkata tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung MN".
Dalam satu kenyataan, Tengku Razaleih menggesa pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan ekoran keputusan Bersatu itu.