Parti baru Dr M pecahkan lagi orang Melayu - Takiyuddin

KOTA BHARU, 8 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pihak termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak mempunyai masalah untuk menubuhkan parti politik asalkan memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Di Malaysia, parti politik yang ditubuhkan mencecah puluhan. Ada yang aktif dan ada yang tak aktif.

"Ada yang ‘beli’ parti yang ditubuhkan sekali dengan perlembagaan dan kemudian tukar nama.

“Itu hak individu di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk berpersatuan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga setiausaha Agung PAS, berkata orang Melayu bakal berpecah jika Mahathir kekal dengan keputusannya untuk menubuhkan parti politik berteraskan Melayu dan pribumi.

“Saya tak pasti apa tujuan Tun untuk menubuhkan 1 lagi parti orang Melayu. Pengalaman saya bersama Tun...beliau seringkali menimbulkan isu perpecahan orang Melayu. Beliau ada pengikut dan Melayu akan semakin berpecah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata mana-mana pihak yang membuat ulasan berlebihan mengenai sesuatu perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, ini termasuk kes membabitkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Sebagai ingatanlah kepada orang ramai dan juga orang yang berkenaan, apabila satu-satu perkara itu telah berada di mahkamah, ianya amat berisiko kalau pihak yang mengulas lebih-lebih, ulas sikit-sikit tak apa.

"Ia boleh terjerumus kepada satu penghinaan kepada mahkamah. Maknanya, kalau di dalam Parlimen sendiri, Parlimen itu yang bebas, nak cakap apa pun boleh. Tapi bila perkara itu ada dalam mahkamah, ia tak boleh disebut. Ianya dianggap sebagai subjudis.

“Jadi, itu satu ingatan kepada masyarakat umum supaya berhati-hatilah untuk komen,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang belum diberikan nama rasmi, namun ia tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).