KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- PAS menyokong penuh keputusan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan oleh UMNO dan parti Islam itu pada 14 September tahun lepas.

Setiausaha agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam perkara berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera serta kepentingan nasional umumnya.

“PAS juga yakin gandingan parti-parti UMNO, PAS dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar “Melayu Raya”, sekali gus memperkasa struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia serta sejarah dan pengalaman panjang kita bersama.

“Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan ini pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS yakin gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui oleh presiden UMNO, PAS dan Bersatu merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN, iaitu kerjasama antara UMNO dan PAS.

Dalam satu rakaman video beliau berkata, ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara.