KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Ahli parlimen pembangkang yang diketuai Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mendesak kerajaan supaya mengkaji semula kadar denda sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka tidak memakai pelitup muka.

Beliau berkata, denda sebanyak RM1,000 amat menekankan khususnya bagi golongan B40 dan juga pelajar.

Menurutnya, petisyen dilancarkan untuk mendapatkan sokongan semua ahli Parlimen termasuk kerajaan meminta kerajaan mengkaji semula kadar denda berkenaan.

"Turunkan denda RM1,000, kami berpendapat denda RM1,000 terlalu tinggi bagi golongan B40, pelajar dan mereka yang hilang pekerjaan.

"Banyak rintihan daripada orang ramai bahawa denda RM1,000 tidak setimpal, tidak saksama.

"Kita minta denda dikenakan secara berperingkat, kesalahan kali pertama RM250, kesalahan kali kedua mungkin meningkat kepada RM500," kata dalam sidang media di Parlimen, semalam.

Pada 23 Julai lalu, kerajaan membuat ketetapan pemakaian pelitup separuh muka akan diwajibkan di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaru itu.

“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.