TANJUNG MALIM, 15 Ogos -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan 2 calon bebas, termasuk seorang wakil parti baharu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pegawai Pengurus PRK DUN Slim, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan Mohd Zaidi Aziz mewakili BN dan 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta Santharasekaran Subramaniam.
“SPR menerima 3 borang pencalonan. Saya telah semak kertas penamaan tersebut, saya berpuas hati dan tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.
Zaidi, 43, ialah pemangku ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, manakala Amir Khusyairi ialah peguam yang mewakili kem Mahathir.
Atas semangat Muafakat Nasional, Ketua PAS Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman menjadi pencadang Zaidi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga ketua PPBM Perak, parti sekutu dalam Perikatan Nasional akan mengerakkan jentera parti masing-masing untuk berkempen bagi calon BN.
“Kami percaya dengan kerjasama erat parti-parti yang ada ini, rakyat akan beri sokongan pada Zaidi.
“Saya yakin rakyat akan pilih untuk tidak berpolitik dan fokus isu tangani wabak COVID-19.”
Beliau juga berharap semua calon dan pihak yang terbabit dalam kempen PRK DUN Slim tidak mengamalkan politik cacat cela.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Khusairi mempertahankan kerusi itu pada 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.