BANGKOK, 30 Ogos -- Walaupun berada di perantauan, sambutan kemerdekaan tanah air oleh perwakilan Malaysia di sini tetap meriah dengan pelbagai acara diadakan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.

Semalam, Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Bangkok menganjurkan program mini sambutan kemerdekaan untuk anak-anak pegawai kedutaan yang menyaksikan mereka menggayakan pakaian tradisional sambil mengambil bahagian dalam pelbagai acara.

Seramai 33 anak pegawai kedutaan berusia tiga hingga 16 tahun terlibat dalam acara, antaranya menyanyikan lagu-lagu patriotik, deklamasi sajak, pertandingan mewarna, menghias kek dan mereka cipta pakaian daripada kertas surat khabar.

Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Bangkok Suzilah Mohd Sidek memberitahu Bernama acara tahunan itu bertujuan mendidik anak-anak menghayati erti kemerdekaan walaupun berada di negara asing.

“Program ini juga bertujuan menerapkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan anak-anak pegawai kedutaan,” kata Suzilah yang juga Timbalan Presiden PERWAKILAN.

Bersempena  sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 esok, kedutaan Malaysia di sini akan mengadakan majlis antaranya menaikkan Jalur Gemilang.

-- BERNAMA