KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz hari ini membuat pendedahan mengejutkan bahawa sebanyak 101 projek telah diberikan melalui rundingan terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata nilai perolehan projek-projek tersebut berjumlah RM6.61 bilion.

“Bagi keadaan tertentu dengan kelulusan Kementerian Kewangan, sekiranya mempunyai keperluan mendesak sehingga menjejaskan perkhidmatan dan kepentingan negara, perolehan secara rundingan terus boleh dilaksanakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Terdahulu, Ahmad bertanya kepada Zafrul sama ada terdapat tender secara terbuka yang dilakukan kerajaan sebelumnya.

Jawapan Zafrul itu menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat dengan ahli parlimen dari kedua-dua blok saling menjerit dan berteriak antara satu sama lain.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) cuba menjelaskan isu tersebut tetapi suaranya tidak kedengaran akibat jeritan beberapa ahli parlimen.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarbangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak) pula bangun dan berkata menteri kewangan ketika itu telah memberikan rundingan terus.

"Kita ada menteri kewangan (Tengku Zafrul), memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya RM6 bilion.

"Dan tidak betul Yang Berhormat Bagan (Lim) kata kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarainya,” kata Azmin.

Lim kemudian bangun dan mendakwa bahawa menteri yang kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminta projek diberikan melalui rundingan terus.

Tengku Zafrul berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020 di sini.