KOTA KINABALU, 1 Ogos -- PKR Sabah akan memutuskan senarai calon dan kerusi untuk pilihan raya akan datang minggu depan, kata pengerusinya, Datuk Christina Liew.
Beliau berkata senarai itu akan diserahkan kepada ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang merupakan presiden Warisan, setelah ianya dimuktamadkan oleh biro pilihan raya PKR Sabah.
PKR, komponen Pakatan Harapan (PH), adalah sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Warisan yang berkuasa setelah pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Semasa ditanya sama ada PKR akan meletakkan calon muka baharu, Liew berkata PKR Sabah akan melihat semua aspek dalam memilih dan menentukan calon bertanding pada PRN, dan beliau percaya dalam beberapa hari ini pihaknya akan menerima cadangan calon dari seluruh negeri.
Beliau berkata PKR bertanding di lapan kerusi pada PRU14 dan menang dua kerusi - di Inanam dan Api-Api - dan berharap dapat memenangi tiga lagi kali ini.
Beliau juga berkata PKR Sabah akan terus bekerjasama dengan Warisan dan UPKO untuk mempersiapkan pilihan raya, yang disifatkannya sebagai mencabar.
Mengenai penyandang kerusi DUN Inanam Kenny Chua yang menyertai dan menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Liew bekata, beliau amat kecewa dengan tindakan bekas Naib Presiden PKR Sabah itu, namun, beliau tidak melihat ia memberi impak kepada parti.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud mengingatkan semua ahli parti supaya tidak lagi bekerjasama dengan Chua, sebaliknya memberi tumpuan untuk memenangkan parti pada pilihan raya kali ini.
DUN Sabah dibubarkan pada Khamis dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
