PM menghadap Sultan Johor pagi ini

Sumber: facebook.com/officialsultanibrahim/

JOHOR BAHRU, 15 Ogos -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini.

Muhyiddin tiba di istana dengan menaiki kenderaan rasmi dirakam di pintu masuk istana pada 9.30 pagi tadi.

Kunjungan itu merupakan kunjungan rasmi kedua Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ke atas Sultan Johor selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lepas.

Turut kelihatan ialah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Pada pertemuan pertama 19 Mac lalu,  Muhyiddin mempersembahkan perkembangan terkini COVID-19 kepada Sultan Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir dilihat meninggalkan istana pada 10.40 pagi. 

Selepas menghadap Sultan Ibrahim, Muhyiddin bersama barisan pemimpin lain dijadualkan menghadiri Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle di sini.