PRK DUN Slim: Calon BN sasar undi lebih banyak

SLIM RIVER, 29 Ogos -- Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjangkakan akan mendapat undi yang lebih banyak daripada pendahulunya semasa pilihan raya umum 2018 (PRU14).

Mohd Zaidi Aziz berkata beliau meramalkan kemenangan yang lebih besar hari ini berdasarkan sokongan yang diterima beliau selama 14 hari terakhir berkempen.

"Saya yakin kita dapat meningkatkan (jumlah) undi berbanding pilihan raya umum yang lalu," katanya kepada wartawan selepas membuat tinjauan di pusat pengundian di SK Aminuddin Baki, di sini, pagi ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya dari pelbagai pihak yang telah membantu kempennya.

PRK kali ini menyaksikan Zaidi berdepan dengan dua calon Bebas iaitu seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.