KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Slim pada 29 Ogos ini.
Sebaliknya, mereka akan memberi ruang kepada kumpulan bekas pemimpin Bersatu yang diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Presiden gabungan berkenaan.
Dalam pada masa yang sama, pemuda PKR akur dengan keputusan PH untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.
Setiausaha sayap itu, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, keselamatan rakyat perlu diutamakan kerana penularan COVID-19 belum reda dan aktiviti membabitkan orang ramai perlu dielakkan untuk meminimumkan risikonya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa terbabit memperkenalkan SOP lebih ketat.
“Pastikan SOP terbaik semasa proses pengundian dijalankan,” katanya.
PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 Ogos bagi penamaan calon, 25 Ogos untuk pengundian awal dan 29 Ogos sebagai tarikh mengundi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Khusairi yang mewakili BN mempertahankan kerusi Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Artikel berkaitan: