Chow Kon Yeow |
GEORGE TOWN, 30 Ogos -- Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan kebanggaan dan berterima kasih kepada rakyat negeri itu kerana menerima setiap garis panduan yang telah ditetapkan dan memberikan kerjasama baik dalam menempuh pandemik COVID-19.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kemerdekaan bukan sahaja menandakan permulaan suatu pembebasan daripada penjajahan semata-mata, malah jalinan semua nilai-nilai murni menjadi kunci dan asas terhadap pembangunan negara dalam membentuk kemakmuran, keharmonian, hormat-menghormati serta bertolak ansur terutamanya pada masa yang sukar ini.
"Ketika Pulau Pinang mencatatkan beberapa kes baharu selepas 91 hari memegang rekod sebagai negeri zon hijau, kita dapat menyaksikan tahap kepatuhan rakyat terhadap setiap arahan dan prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah sangat tinggi.
“Kerajaan negeri ingin mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada sebuah keluarga dari Nibong Tebal yang menunjukkan sikap prihatin dengan memulakan ‘misi pembersihan’ secara sukarela, mengutip pelitup muka terpakai yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya," katanya dalam perutusan khas bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.
Tambahnya, keprihatinan dan kerjasama yang telah diberikan secara kumulatif oleh semua telah membantu serta memudahkan tugas para petugas barisan hadapan sesuai dengan pemilihan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’.
-- BERNAMA