Rakyat Indonesia cedera dalam insiden letupan di Beirut


JAKARTA, 5 Ogos -- Seorang warga Indonesia cedera dalam tragedi letupan di Beirut, Lubnan, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan Kementerian Luar Indonesia pada Rabu.

Menurut kementerian itu, kedutaan Indonesia di Beirut sudah berjaya menghubungi mangsa, yang kini dalam keadaan stabil. 

Mangsa dikejarkan ke hospital Rafi Hariri tidak jauh dari lokasi kejadian, iaitu sekitar tujuh kilometer dari kedutaan Indonesia.

Kedutaan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat korban atau kecederaan dalam kalangan warga Indonesia yang lain.

Peristiwa menggemparkan itu berlaku pada Selasa di Pelabuhan Lubnan kira-kira 6.10 petang waktu tempatan (1610 GMT).

Duta Indonesia ke Lubnan Hajriyanto Y Tohari dalam satu kenyataan berkata selepas pemeriksaan terakhir dibuat, semua rakyat Indonesia di negara itu dilaporkan selamat.

Beliau berkata terdapat 1,447 rakyat Indonesia di Lubnan termasuk 1,234 anggota tentera di misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),  213 kakitangan kedutaan dan juga pelajar.