KOTA KINABALU, 17 Ogos -- Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal berlangsung pada 26 September ini.
Manakala, pengundian awal ditetapkan pada 22 September.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom mengumumkan bahawa penamaan calon akan berlangsung pada 12 September.
Perkembangan ini menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.
SPR turut memaklumkan bahawa terdapat 1.12 juta pengundi dan dijangka sebanyak 70 peratus pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab.
Waktu pengundian turut dipanjangkan selama 30 minit dari 7:30 pagi sehingga 5 petang.
Dr Azmi turut berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya akan dirangka SPR bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tempoh berkempen 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding, sehingga 25 Sept,” katanya.
Dr Azmi turut berkata SPR menganggarkan PRN Sabah kali ini memerlukan peruntukan sebanyak RM186 juta.
Beliau berkata seramai 30,540 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Sabah, manakala 741 pusat mengundi merangkumi 2,540 saluran mengundi dan 56 pusat mengundi awal akan disediakan.
Katanya pemohonan undi pos luar dan dalam negara akan mula dibuka pada hari ini, dan akan ditutup masing-masing pada 3 Sept (luar negara) dan 11 Sept (dalam negara).
Beliau berkata SPR telah melantik 73 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 193 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRN Sabah, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen, SPR menubuhkan 73 pasukan penguat kuasa kempen.
"Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan kali ini," katanya.
