KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata bahawa beliau tidak menolak kemungkinan parti baharu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Pejuang bakal bergabung dengan Bersatu serta beberapa kumpulan politik lain pada masa akan datang.
Menambah bahawa Bersatu dan Pejuang "mempunyai misi yang sama tetapi menempuh jalan yang berbeza", katanya fokus Bersatu adalah pada pengukuhan integriti dan kedaulatan undang-undang.
"Sekiranya Pejuang mempunyai misi yang sama, saya tidak akan terkejut jika mereka juga bergabung (dengan kami) sebagai sebahagian daripada gabungan besar pada masa depan.
"Itu pendapat saya," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pada Sabtu, Bersatu telah bersetuju untuk bergabung dengan Muafakat Nasional (MN), kerjasama yang dijalin antara UMNO dan PAS.
Perkara itu diumumkan oleh presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga hari selepas Mahathir memperkenalkan Pejuang sebagai nama parti baharunya.